Sumber Gambar: https://www.facebook.com |
1. Ramai yang menyangka negeri Melayu paling utara di semenanjung Tanah Melayu adalah Perlis.
2. Tetapi pada penulis, negeri Melayu paling utara di Tanah Melayu
sebenarnya adalah Chaiya (Jaiya), yang kini termasuk dalam wilayah Surat Thani, Thailand.
3. Ini kerana Chaiya memiliki warisan sejarah
Melayu pada kedua-dua era, iaitu era sebelum dan sesudah kedatangan
Islam ke Alam Melayu.
4. Chaiya pada suatu ketika pernah menjadi
pusat bagi kerajaan Srivijaya iaitu sebuah empayar bangsa Melayu yang
masyhur pada era pra-Islam. Buktinya, sehingga kini masih wujud
puing-puing binaan tiga (3) buah chedi era Srivijaya di Chaiya iaitu Wat Hua Wiang, Wat Long dan Wat Kaeo .
5. Dan yang tidak
diketahui umum, Kesultanan Melayu-Islam juga sebenarnya pernah wujud di
Chaiya. Penulis tetap menggunakan istilah 'Kesultanan' kerana di makam
Raja-rajanya tercatat gelaran 'Sultan'.
6. Kesultanan Melayu
mulai wujud di Chaiya setelah Phraya Ram Decho (Mahmud), Raja Ligor yang
telah menyerang dan menewaskan Kerajaan Melayu Singgora bagi pihak
Ayutthaya memohon kepada Narai, Raja Ayutthaya, supaya kerabat Singgora
tidak dibunuh sebaliknya diringankan hukuman untuk diasingkan ke tempat
lain.
7. Permohonan tersebut telah diperkenankan lalu Sultan
Mustafa, Raja Singgora bersama-sama dengan kerabat dan penduduknya yang
telah berusia lanjut kemudian telah diasingkan ke Chaiya, manakala
kerabat yang masih muda seperti adik beradik Sultan Mustafa yang bernama
Hassan dan Hussein dibawa ke Ayutthaya.
8. Disebabkan pengaruh
Sultan Mustafa yang masih kuat, baginda kemudian telah diangkat pula
sebagai Raja Chaiya tetapi dibawah naungan Siam dengan gelaran Phraya
Pichit Phakdi Siphichai Songkram (Ada penulisan yang menterjemah
Siphichai sebagai Srivijaya). Manakala adinda baginda iaitu Hussein
menjadi Wan Muda (Raja Muda). Hussein ini kemudiannya telah diangkat
sebagai Raja di negeri Phattalung menggantikan Sultan Farisi yang telah
wafat.
9. Sultan Mustafa kemudian telah membina sebuah pemukiman
baru di Chaiya yang diberi nama Ban Songkhla, iaitu untuk mengangkat
kembali nama tempat asal baginda iaitu Singgora. Baginda terus
memerintah Chaiya sebelum wafat pada tahun 1696 di usia 78 tahun.
10. Takhta Kesultanan Chaiya kemudian diwarisi oleh putera baginda
dengan gelaran Sultan Taufik. Baginda juga dikenali dengan nama Marhum
Tafai iaitu mengikut sebutan Siam yang bermaksud 'Bermata Api'.
11. Sultan Taufik mempunyai dua anakanda iaitu Farouk dari isteri yang
beragama Islam dan Wan Bongsu (Boonchu) dari isteri yang beragama
Buddha. Bagi mengelakkan pertelingkahan, Boonchu kemudian telah dihantar
untuk berkhidmat di istana Ayutthaya.
12. Selepas kemangkatan
Sultan Taufik pada tahun 1705, takhta Kesultanan Chaiya kemudian
diwarisi pula oleh Sultan Farouk. Namun Sultan Farouk akhirnya tewas
akibat serangan tentera Burma.
13. Boonchu kemudian datang dari
Ayutthaya untuk memerintah semula Chaiya. Tetapi baginda akhirnya
dinyatakan mangkat dalam penjara di Bangkok kerana menjadi mangsa
perebutan kuasa antara Raja-raja Siam. Tiada lagi waris Dinasti Singgora
yang memerintah Chaiya selepasnya.
14. Justeru itu, Kesultanan
Melayu dapat berdaulat di Chaiya lebih kurang 113 tahun menerusi empat
orang Rajanya yang beragama Islam iaitu bermula dari tahun 1669 hingga
tahun 1782.
_________________________
Disalin dari kiriman facebook Ibnu Rusydi