Ilustrasi Gambar: Ibnu Hasyim
Darah berkocak ditikam komunis
FB Modh Hakimi - “SAYA melihat sendiri darah ibu dan adik bongsu berusia dua tahun berkocak di dalam kolam ikan ketika mereka ditikam bertubi-tubi oleh komunis.
“Ketika itu, saya yang berusia 14 tahun terbaring hanya dua kaki dari ibu, Temun Manang dan adik sambil menunggu giliran ditikam lembing komunis,” kata Tik Sulong.
Tik, 89, adalah adik kepada pengarah filem veteran, Allahyarham Datuk Jamil Sulong iaitu anak Sulong Mohammmad yang dilantik sebagai Naib Penghulu Parit Sulong, Johor menggantikan mentuanya Sulong Gantang yang meninggal dunia pada 1935.
Tidak sekadar melihat ibunya dibunuh, wanita itu turut melihat empat lagi ahli keluarganya dibunuh kejam komunis dalam kejadian sekitar 6 pagi, 10 Jun 1945.
“Walaupun 74 tahun sudah berlalu, peristiwa berdarah itu masih segar dalam ingatan. Rumah kami dibakar dan selain ibu dan adik, saya turut kehilangan dua anak saudara yang masih kecil serta abang ipar yang mati terbakar.
“Bayangkan ketakutan yang dirasai apabila melihat anak saudara yang masih kecil menjerit meminta tolong sambil isi perutnya terburai, tetapi apalah daya saya ketika itu,” katanya ketika ditemui media di rumahnya di Sungai Udang di sini, semalam.
“Ayah ketika itu tiada di rumah kerana ke kebun bagi memantau kerja-kerja menuai padi. Ibu sempat memasak nasi untuk kakak yang baru 16 hari bersalin.
“Tiba-tiba kakak yang berada dalam pantang terdengar ketuk-ketuk disusuli bunyi berbalas tembakan. Kami semakin takut apabila terdengar jeritan penduduk kampung mengatakan komunis sedang menyerang,” katanya.
Nenek dan moyang kepada 16 cucu dan lapan cicit itu berkata, serentak dengan itu dia berlari menarik tangan ibu serta adik bongsu berusia dua tahun keluar melalui pintu belakang rumah.
Pada masa sama, katanya, kakaknya yang sedang dalam pantang mendukung anak kecilnya dengan sebelah tangan memimpin adik berumur tiga tahun.
“Ketika kami bertiga berusaha menyelamatkan diri, saya dan adik yang didukung ibu terjatuh ke dalam kolam ikan berhampiran rumah.
“Saya sempat mendengar ibu merayu supaya anak-anaknya tidak dibunuh, tetapi komunis tanpa belas kasihan dan kejam terus menikam ibu dan adik bertubi-tubi menggunakan lembing.
“Dalam keadaan ketakutan, saya membenamkan muka ke dalam air dan menyorok di sebalik tumbuhan daun keladi yang memenuhi kolam ikan itu,” katanya mengalirkan air mata.
Mungkin dengan kuasa Allah, katanya, komunis itu tidak menemuinya yang ketika itu sudah ‘bermandikan’ darah dagingnya sendiri.
“Komunis kemudian bertindak membakar rumah dua tingkat kami sehingga mengorbankan dua anak saudara dan abang ipar.
“Lima orang ahli keluarga kami terbunuh dalam tragedi itu selain lima lagi dalam kalangan penduduk kampung.
“Suasana pengebumian kelima-lima jenazah ahli keluarga selepas itu berlaku dalam suasana amat memilukan,” katanya menahan air mata.
Menurut Tik selepas tragedi itu, dia sekeluarga yang terselamat menumpang di rumah penduduk kampung yang bersimpati dengan nasib mereka sebelum berpindah dan menetap di Sungai Udang, Melaka beberapa tahun kemudian.
Kredit : Metro