Disalin dari kiriman Ibnu Kamal Aliff
KERAJAAN CHIEH TU
Catatan Duta China dari Dinasti Sui
Ada tulisan menyatakan Kerajaan ini sudah wujud semenjak tahun 200 SM lagi, dan pada tahun 589M, Chih Tu telah menghantar duta ke China setelah kejayaan Dinasti Sui menyatukan kembali China, 18 tahun kemudian iaitu pada tahun 607M, Dinasti Sui telah menghantar dua orang duta ke Chih Tu sebagai balasan. Rombongan Maharaja Sui itu membawa 5000 jenis hadiah yang berbeza kepada Raja Chih Tu.
MAHARAJA YANG GUANG
Jelas disini, Kerajaan Chih Tu begitu peka dengan perkembangan di China, dan hubungannya sangat akrab dan dapat kita perhatikan ketika Dinasti Sui berjaya menumpaskan Dinasti Chen, ia terus menghantar duta ke China sebagai pengiktirafan kepada Maharaja Yang Guang dari Dinasti Sui yang berjaya menyatukan kembali China. Maharaja tersebut kemudiannya membalas kunjungan Duta Chih Tu dengan menghantar hadiah dan dua dutanya ke Kerajaan yang berada di Semenanjung itu dan berlangsunglah hubungan dua hala antara kedua kerajaan ini. Kedua duta China itu merekod apa yang mereka saksikan setibanya di Chih Tu.
LOKASI
Mereka merekodkan Chih Tu pada masa tersebut berada di bawah naungan Funan sebuah lagi kerajaan bangsa Melayu yang berpusat Kemboja pada masa sekarang. Pada masa tersebut kawasan ini menganut fahaman Budha. Ibu Kota Chih Tu bernama Seng Chih dan ia terletak jauh di pedalaman dan memakan masa sebulan untuk tiba di kota tersebut. Pemerintah Chih Tu pula dari kerabat diraja yang dikenali sebagai Chu Tan. Rajanya bernama Li Fo to Se dan Putera Mahkotanya bernama Na Ya Chia. Semasa delegasi China itu tiba di Seng Chih, Li Fo to Se telah memerintah Chih Tu selama 16 tahun dan beliau memerintah setelah ayahnya turun dari takhta untuk mengembangkan ajaran Budha ke seluruh dunia.
ISTANA:
Ibu Kota Chih Tu, bernama Seng Chih, dari rekod China ini ia terletak jauh ke pedalaman dan memakan masa selama sebulan untuk tiba kalau mengikut jalan darat. Setibanya di Seng Chih mereka menyaksikan Istana Chih Tu itu tersergam indah, mempunyai tiga pintu gerbang yang setiap lapis berjarak seratus langkah setiap satu, Di setiap pintu gerbang dilukis gambar Bodhisattva dihiasi dengan gantungan bunga dan loceng. Setiap pintu gerbang terdapat empat pengawal yang berpakaian raksasa mereka dilengkapi senjata perang. Di perkarangan istana terdapat berpuluh orang wanita memegang panji-panji dari bunga emas dan ada juga bermain alat muzik dan ada antara mereka bertugas mengumpul bunga dengan berpakaian warna putih. Binaan istananya sungguh mengagumkan kerana ia mempunyai beberapa pavillion dan bertingkat-tingkat, ia dibina mengadap ke arah utara, takhta atau singgahsana raja juga mengadap ke arah utara. Setiap hari raja akan bersemayam di atas takhta tersebut dengan memakai jubah berwarna merah mawar dan memakai perhiasan yang diperbuat daripada emas. Mahkotanya dihiasi dengan gubahan bunga yang diperbuat daripada emas dan bertatahkan permata. Disisi kanan dan kirinya terdapt empat orang wanita yang bertindak selaku dayang dan dalam balai penghadapan itu terdapat seramai 100 orang pengawal.
Di belakang singgahsana raja juga terdapat gerbang yang diperbuat daripada lima jenis kayuan wangi yang disepuh dengan emas dan perak dan belakang gerbang tersebut terdapat disk logam yang berbentuk api menyala diperbuat daripada emas yang berkilauan. Di setiap sisi singgahsana yang bertingkat itu terdapat dua buah cermin dari logam berwarna perak dan dihadapan setiap cermin itu terdapat setempayan emas manakala dihadapan tempayan tersebut terdapat sebuah dupa dengan kemenyan yang dibakar yang juga diperbuat daripada emas tulen. Pada tingkat paling bawah singgahsana itu terdapat patung seekor lembu emas yang dipayung. Dalam balairong itu juga terdapat dua barisan Brahmin yang saling berhadapan dan turut disertai oleh para pembesar yang membentuk beberapa lapisan.
KEKAYAAN
Dicatatkan lagi bahawa Chih Tu pada masa tersebut sebuah negara yang kaya dan memiliki 30 buah kapal besar dan beratus hulubalang mengawal istana. Negeri ini juga menghasilkan kain yang bermutu tinggi dengan pelbagai corak antaranya berwarna kuning keemasan, dan warna awan pagi selain itu Chih Tu juga menghasilkan pelbagai jenis kain kapas. Selain itu, negeri ini juga menghasilkan produk makanan seperti padi, kekacang, bijan hitam, arak tebu, arak kelapa dan beberapa lagi yang mendapat permintaan tinggi. Kehidupan di Istana Chih Tu juga berada dalam keadaan mewah dengan tetamu dari China itu dilayani penuh tertib menggunakan peralatan yang dibuat dari emas dalam suasana yang sungguh nyaman dan wangi.
KEADAAN SOSIAL:
Di Chih Tu, emas adalah pakaian diRaja, hanya melalui perkenan raja sahaja barulah orang kebiasaan boleh memakainya sebagai perhiasan. Menjadi adat bagi golongan lelaki dan perempuan menindik telinga, memakai minyak wangi, berhias dengan bunga dan mengenakan pakaian berwarna polos. Para wanitanya pula mengenakan sanggul di rambut dan bahagian hujung rambut berjutaian pada bahagian leher. Upacara perkahwinan dijalankan penuh tertib dengan memilih tarikh yang sesuai bertepatan dengan agama yang mereka anuti, setelah itu keluarga pengantin perempuan akan diraikan selama seminggu dan ia akan berakhir pada hari ketujuh dengan pengantin lelaki dan perempuan bersatu. Kemudian mereka akan berpindah ke rumah yang berasingan, sekiranya yang berkahwin itu adalah putera bongsu, mereka wajib tinggal bersama bapanya.
Sekiranya berlaku kematian, ahli keluarga akan berkabung dengan membotakkan kepala dan memakai pakaian polos dan terang. Mayat si mati pula akan dibakar dengan cara menghanyutkan rakit buluh di sungai supaya abu mayat akan terus bersemadi dan bersatu dengan alam. Selain itu gedang akan dipalu dan tiupan cengkerang juga akan dibuat disertai dengan pembakaran dupa dan kemenyan. Namun, sekiranya Raja yang mangkat abunya akan dimuatkan dalam balang emas dan disimpan di kuil. Masyarakat di Chih Tu direkodkan menganut fahaman Budha, tetapi mereka lebih mengabdikan diri kepada Brahman yang menunjukkan pengaruh kepercayaanyang menunjukkan pengaruh kepercayaan agama Hindu juga kuat dalam masyarakat ini. Namun perkara ini bukanlah suatu yang ganjil, kerana seluruh masyarakat di Asia Tenggara mengamalkan kedua-dua kepercayaan Hindu-Budha dalam kehidupan mereka.
RUMUSAN
Rekod Duta China dari Dinasti Sui berkenaan Chih Tu sungguh mengkagumkan para pengkaji, justeru telah berlaku perbahasan panjang yang menimbulkan pelbagai teori dan hipotesis tentang lokasi kerajaan tua ini, namun ramai ahli sejarah tempatan dan antarabangsa setuju bahawa lokasi kerajaan tua ini terletak di Kelantan berdasarkan catatan ini. Bagaimanapun hingga kini ia masih tidak dijumpai dan andaian bahawa ia telah ditemui tetapi tidak dihebahkan juga merupakan satu faktor, kita tinggalkan dulu soal itu... Apa yang jelas, Chih Tu memang sebuah kerajaan yang
hebat
dan gah walaupun tiadak bukti fizikal yang ditemui.
Istana kerajaan ini dibina jauh di pedalaman, binaannya penuh kemegahan dan kemewahan. Singgahsananya dibina bertingkat-tingkat dan disadurkan emas serta bersulamkan batu permata. Mempunyai struktur pentadbiran yang utuh dan dominan. Berdasarkan kepada catatan China ini, Chih Tu sebenarnya adalah kerajaan yang bernaung di bawah Funan, bagaimanapun dengan perhubungan diplomatik antara Chih Tu dan China ini telah membuktikan bahawa kerajaan kuno ini telah membebaskan diri dari naungan Funan dan ada catatan lain menyatakan bahawa setelah termetrainya hubungan diplomatik ini Chih Tu telah menukar nama kerajaan mereka kepada Sriwjayamala.
Setelah itu, Kota Seng Chih yang menempatkan Istana Raja Chih Tu ini telah lenyap dan hilang dan jejaknya juga terus menjadi misteri walaupun ekspedisi kajian arkeologi telah dilakukan di kawasan pedalaman Kelantan. Kemegahan kota ini terus tersimpan dalam lipatan sejarah dan menunggu masa untuk ditemui. Ikuti artikel seterusnya dari kami yang bertajuk Kota Singa di Tengah Belantara Kelantan.
RUJUKAN
-Paul Wheatley, The Golden Chersonese. [Buku]
-Nik Shuhaimi - Budi Utomo, Zaman Klasik di Nusantara [Buku]
-Slamet Mulyana - Sriwijaya [Buku]
Posted 1st March 2015 by Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan